Rabu, 5 Ogos 2009

TOLERANSI NABI DALAM BERDAKWAH

Sedang Nabi Muhammad saw duduk bersama para sahabat, muncul seorang pemuda berjumpa Nabi lalu berkata "Izinkanlah saya untuk berzina." Mendengar perkataan yang biadab itu, sahabat-sahabat terpinga-pinga dan merasa marah.

Namun Nabi Muhammad bersikap tenang dan melayan dengan baik. Baginda menyuruh pemuda itu hampir kepadanya lalu bertanya "Mahukah engkau berzina dengan ibumu?" Pemuda itu menjawab "Tidak!". Lantas Nabi bersabda "Kalau begitu, orang-orang lain juga tidak suka berbuat jahat kepada ibu-ibu mereka." Nabi kemudian mengajukan soalan kedua "Sukakah kamu berbuat jahat dengan saudara perempuanmu sendiri? atau sukakah kamu sekiranya isteri kamu dinodai orang?" Kesemua soalan itu dijawab oleh pemuda itu dengan "Tidak!".

Rasulullah saw kemudian meletakkan tangannya yang mulia ke atas pemuda itu sambil berdoa "Ya Allah, sucikanlah hati pemuda ini. Ampunkanlah dosanya dan peliharakanlah dia dari melakukan zina."

Sejak peristiwa itu, tiadalah perkara yang paling dibenci oleh pemuda itu selain zina.


MORAL & IKTIBAR

o Sifat berlemah-lembut dan toleransi amat perlu ada dalam setiap pendakwah.
o Sifat lemah-lembut kunci bagi kejayaan dakwah
o Sifat toleransi merupakan satu rahmat dan pemberian Allah yang bersifat dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim
o Perkataan yang kasar dan kesat bukan menghampirkan orang lain kepada kita malah akan menjauhkannya lagi
o Sebelum melakukan sesuatu perkara, perlulah bermesyuarat atau berbincang (bertukar-tukra fikiran) dengan orang lain
o Jauhkan bertindak mengikut hawa nafsu kerana ia datang dari syaitan
o Kemukakanlah soalan kepada orang lain walaupun soalan itu kemungkinan tidak ada logiknya; sementara orang yang ditanya pula berikanlah layanan yang sepatutnya dengan ikhlas.
o Berikanlah nasihat atau teguran kepada orang yang memerlukan namun teguran itu hendaklah dilakukan dengan ihsan kerana Allah semata-mata semoga orang yang berkenaan tidak berasa diperhinakan dan terus menerus terbiar menjadi mangsa syaitan.
o Berdakwah dengan hikmah memberikan kesedaran dan keinsafan kepada orang yang didakwah.

SAIDINA ALI DAN PEMINTA SEDEKAH

Siti Fatimah, isteri Saidina Ali didatangi seorang peminta sedekah. Ketika itu Saidina Ali mempunyai 50 dirham. Setelah menerima wang, pengemis itu pun balik. Di tengah jalan, Saidina Ali bertanya berapa banyak yang diberi oleh Saidatina Fatimah. Apabila diberitahu 25 dirham, Saidina Ali menyuruh pengemis itu pergi sekali lagi ke rumahnya. Pengemis itu pun pergi dan Fatimah memberikan baki 25 dirham kepada pengemis itu.

Selang beberapa hari, datang seorang hamba Allah berjumpa Saidina Ali dengan membawa seekor unta. Orang itu mengadu dalam kesusahan dan ingin menjualkan untanya. Saidina Ali tanpa berlengah menyatakan kesanggupan untuk membelinya, meskipun ketika itu dia tidak berwang. Dia berjanji akan membayar harga unta itu dalam masa beberapa hari.

Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali berjumpa dengan seorang lelaki yang ingin membeli unta itu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga asal. Saidina Ali pun menjualkan unta itu kepada orang itu. Setelah mendapat wang, Saidina Ali pun menjelaskan hutangnya kepada penjual unta.

Beberapa hari kemudian, Rasulullah saw berjumpa Saidina Ali lalu bertanya "Ya Ali, tahukah kamu siapakah yang menjual dan membeli unta itu?" Apabila Saidina Ali mengatakan tidak tahu, Nabi menerangkan yang menjual itu ialah Jibril dan yang membelinya ialah Mikail.


MORAL & IKTIBAR


* Allah membalas atau memberi ganjaran berlipat ganda jika kita menolong orang yang dalam kesusahan.
* Memberikan bantuan kepada orang yang susah merupakan satu aset yang balasannya akan diterima di dunia lagi.
* Berikanlah bantuan kepada orang yang berada di dalam kesempitan kelak Allah akan melepaskan kita semasa kita berada dalam kesusahan.
* Keyakinan kepada balasan baik Allah merangsang kita untuk melakukan amalan dan kebajikan dengan lebih banyak.

TERPERANGKAP DI DALAM GUA

Pada zaman dulu, 3 orang pemuda dalam satu perjalanan berehat di dalam sebuah gua untuk berteduh dari hujan lebat. Tiba-tiba pintu gua tertutup oleh satu batu yang besar. Mereka cuba menolak batu itu tetapi tidak berjaya.

Mereka berusaha pelbagai cara untuk keluar tapi kesemuanya gagal. Akhirnya tiada jalan lain kecuali bermohon dan mengadu kepada Allah. Mereka tahu hanya Allah yang dapat melepaskan mereka. Keputusan diambil supaya tiap-tiap orang mengadu atau bertawassul dengan amal kebajikan yang mereka buat.

Pemuda pertama berdoa:
"Ya Allah, saya pernah berbuat amal soleh terhadap kedua ibubapa saya. Suatu hari saya balik dari kerja dan berasa tersangat lapar. Saya sangka ibu saya sudah masak nasi tapi rupanya belum kerana kehabisan beras. Saya terus keluar untuk beli beras. Apabila pulang, saya lihat ibu saya tertidur. Saya tidak berani mengejutkannya walaupun saya tersangat lapar sehinggalah dia tersedar sendiri. Ya Allah, jika ini merupakan amal kebajikan yang ikhlas terhadap ibuku dan mendapat keredhaanMu, tolonglah kami untuk keluar dari sini."

Tiba-tiba pintu itu terbuka sedikit dengan kurnia Allah, namun mereka masih belum boleh keluar.

Giliran pemuda kedua berdoa:
"Ya Allah, saya juga mempunyai amal soleh. Saya mempunyai gedung perusahaan dan mempunyai ramai pekerja. Setiap pekerja dibayar gaji tepat pada waktunya. Pada satu ketika seorang pekerja tidak datang mengambil gaji bulanannya sehingga beberapa bulan. Wang gajinya saya gunakan untuk membeli barang-barang perniagaan sehingga saya untung 10 kali ganda wang asalnya. Beberapa bulan kemudian, pekerja itu datang kembali lalu saya serahkan kesemua hartanya termasuk keuntungan yang saya niagakan. Ya Allah, sekiranya ini merupakan amal yang mendapat keredhaanMu, tolonglah kami dalam kesusahan ini!"

Sebaik saja habis merayu, tiba-tiba pintu itu bergerak sedikit tetapi masih belum boleh keluar.

Akhirnya sampai giliran pemuda ketiga:
"Ya Allah, aku sebenarnya tidak mempunyai suatu amalan yang dianggap penting. Sepanjang ingatanku, hanya sekali aku berbuat baik kerana malu kepada Engkau ya Allah. Aku ditugaskan membahagi-bahagikan makanan kepada orang-orang miskin. Semasa bekerja aku terlihat seorang gadis cantik yang juga meminta bahagiannya. Setelah semua orang pulang, aku pun memanggil gadis itu dan menyatakan niat jahatku kepadanya. Gadis itu menangis seraya berkata dia rela mati kelaparan daripada melakukan dosa perbuatan terkutuk itu. Aku menjadi serba salah dan datang penyesalan yang tidak terhingga. Aku malu dan insaf atas kesalahanku. Ya Allah, sekiranya penyesalan dan taubat ini Kau terima, tolonglah kami dari kesusahan ini."

Tiba-tiba pintu gua itu terbuka luas dan mereka pun keluar dengan selamat.

MORAL & IKTIBAR


* Allah memberikan bantuan kepada mereka yang benar-benar berdoa dengan penuh keikhlasan kepadaNya.
* Dalam kesempitan, kita dibolehkan bertawassul dengan amal kebajikan yang kita lakukan.
* Bertawassul juga merupakan salah satu ciri dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah
* Dalam melaksanakan sesuau pekerjaan eloklah bermuafakat terlebih dahulu sebab muafakat itu membawa berkat
* Berbakti kepada ibubapa adalah satu amalan soleh
* Berlaku jujur dalam perniagaan juga amalan soleh
* Mengelak dari melakukan perzinaan adalah amalan soleh

SATU AMALAN NILAINYA SYURGA

SATU AMALAN NILAINYA SYURGA

Di padang Mahsyar segala amalan manusia ditimbang oleh Allah. Mana yang lebih banyak pahala dimasukkan ke syurga sementara yang berat timbangan dosa dihumban ke neraka. Seorang hamba Allah didapati kurang satu amalan (mata) saja untuk melayakkan dia masuk ke syurga. Jika mengikut perkiraan, dia adalah calon neraka tapi Allah Maha Penyayang akan hambanya. Allah memerintahkan orang itu mencari satu lagi mata untuk melayakkan dia ke syurga. Puas dia merayau dan mengemis dari seorang ke seorang untuk mendapatkan satu kebajikan saja namun hampa. Masing-masing memerlukan walau satu kebajikan. Kesemuanya mengatakan nasib mereka belum menentu, bagaimana hendak memberikan satu pahala.

Namun dia tidak berputus asa. Akhirnya berjumpa dengan seorang hamba Allah yang bersimpati dengannya. Dia mengatakan hidupnya bergelumang dengan dosa dan sepanjang hidupnya hanya membuat satu kebajikan saja. Padanya satu pahala itu tidak membawa sebarang makna, kerana menyangkakan dia akan masuk ke neraka akhirnya. Oleh sebab simpatinya kepada orang itu, dia memberikan satu pahala itu kepadanya. Dengan gembira yang tidak terhingga dia kembali menghadap Allah membawa pahala tersebut. Dia menerangkan apa yang berlaku. Oleh sebab sikap penderma yang pemurah itu, Allah menyuruh orang itu mencari penderma berkenaan untuk dimasukkan bersamanya ke dalam syurga.


MORAL & IKTIBAR


* Allah bersifat dengan AR-RAHIM
* Jangan remehkan kebajikan walaupun hanya amalan sunat
* Satu kebajikan amat berat timbangan di sisi Allah Satu amalan boleh meletakkan diri sama ada syurga atau neraka
* Di padang mahsyar semuanya nafsi-nafsi; masing-masing mau melepaskan diri dari azab yang pedih
* Orang yang pemurah akan dirahmati Allah yang bersifat dengan Pemurah
* Penghakiman di akhirat amat teliti serta berlandaskan keadilan yang hakiki

NAIK SALAH, TURUN PUN SALAH

Pada zaman dulu di negara Arab, ramai orang menunggang kaldai sebagai kenderaan. Seorang bapa membawa anaknya ke satu tempat dengan membawa seekor kaldai. Kedua-dua mereka menaiki kaldai itu dan lalu di sebuah pekan. Keadaan ini menarik perhatian orangramai. Ada di antara mereka berkata "Ini kes aniaya. Kaldai tu dah le kecil. Dua-dua orang pulak naik. Kan tu menyeksa binatang.. Tak ada peri kemanusiaan langsung".

Si-bapa mendengar komen mereka. Lalu si bapa turun dan membiarkan anaknya sendirian di atas kaldai. Si-bapa meneruskan perjalanan sambil berjalan kaki. Mereka pun melalui sekumpulan orangramai. Sekali lagi ada yang komen, "Kurang ajar punya anak. Dia sedap-sedap naik kaldai. Bapanya dibiarkan berjalan kaki."

Si-anak mendengar komen mereka, lalu dia turun dan menyuruh bapanya pula menunggang kaldai. Si-anak berjalan kaki mengiringi bapanya di atas kaldai. Mereka pun melalui sekumpulan orang. Sekali lagi mereka mendengar rungutan "Bapa tak ada otak, dia sedap naik kaldai, anaknya dibiarkan berpeluh berjalan."

Mendengar komen itu, si-bapa pun turun dan berjalan bersama-sama anak. Kaldai itu dibiarkan berjalan sendirian. Mereka pun melalui sekumpulan orang. Masih ada yang komen "Apalah bodohnya orang tua ni. Ada kaldai tapi tak mau naik. Kalau macam ni, lebih baik tak payah bawa kaldai!"

Mendengar kata-kata ini, si-bapa pun memberitahu anaknya. "Beginilah keadaan masyarakat. Mereka hanya pandai komen. Pandai melihat kesalahan orang. Ada saja yang tak betul. Kalau kita ikut saja kata-kata mereka rosak kita. Kita tidak boleh terima pandangan mereka secara melulu. Kita kena fikirkan kesemuanya dan kita buat apa yang baik pada kita. Jangan pedulikan komen mereka.."




MORAL & IKTIBAR

* Kebanyakan orang memang suka mencari kesalahan orang
* Pendapat dan komen mereka tidak boleh diikut melulu kecuali memang ada asas dan kebenaran.
* Pertimbangan mesti berdasarkan keadaan dan senario yang kita hadapi.
* Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan

BERKAT KEJUJURAN

BERKAT KEJUJURAN



Syeikh Abdul Kadir semasa berusia 18 tahun meminta izin ibunya merantau ke Baghdad untuk menuntut ilmu agama. Ibunya tidak menghalang cita-cita murni Abdul Kadir meskipun keberatan melepaskan anaknya berjalan sendirian beratus-ratus batu. Sebelum pergi ibunya berpesan supaya jangan berkata bohong dalam apa jua keadaan. Ibunya membekalkan wang 40 dirham dan dijahit di dalam pakaian Abdul Kadir. Selepas itu ibunya melepaskan Abdul kadir pergi bersama-sama satu rombongan yang kebetulan hendak menuju ke Baghdad.

Dalam perjalanan, mereka telah diserang oleh 60 orang penyamun. Habis harta kafilah dirampas tetapi penyamun tidak mengusik Abdul Kadir kerana menyangka dia tidak mempunyai apa-apa. Salah seorang perompak bertanya Abdul Kadir apa yang dia ada. Abdul Kadir menerangkan dia ada wang 40 dirham di dalam pakaiannya. Penyamun itu hairan dan melaporkan kepada ketuanya. Pakaian Abdul Kadir dipotong dan didapati ada wang sebagaimana yang diberitahu.

Ketua penyamun bertanya kenapa Abdul Kadir berkata benar walaupun diketahui wangnya akan dirampas? Abdula Kadir menerangkan yang dia telah berjanji kepada ibunya supaya tidak bercakap bohong walau apa pun yang berlaku. Apabila mendengar dia bercakap begitu, ketua penyamun menangis dan menginsafi kesalahannya. Sedangkan Abdul Kadir yang kecil tidak mengingkari kata-kata ibunya betapa dia yang telah melanggar perintah Allah sepanjang hidupnya. Ketua penyamun bersumpah tidak akan merompak lagi. Dia bertaubat di hadapan Abdul Kadir diikuti oleh pengikut-pengikutnya.


MORAL & IKTIBAR

* Ilmu Agama perlu dituntut meskipun terpaksa berjalan jauh.
* Kata-kata ibu menjadi pendorong dan perangsang dalam hidup.
* Berkata benar adalah satu kekuatan yang boleh memberi keinsafan kepada orang lain
* Niat yang baik dan ikhlas mendapat keberkatan daripada Allah

PENCURI KAIN KAPAN

PENCURI KAIN KAPAN


Di Baghdad terdapat seorang lelaki yang sering mencuri kain kapan. Dia menggali setiap kubur orang yang baru meninggal dunia dan mengambil kain itu. Pada satu malam sedang dia menggali kubur, dia terperanjat besar melihat api menjulang-julang keluar dari lubang kubur. Badannya menggigil dan terus pingsan.

Sebaik saja sedar, dia lari lintang-pukang sambil menangis teresak-esak. Dia berjumpa dengan seorang wali Syeikh Jonid Al-Bustani untuk menceritakan keadaan dan ingin bertaubat. Dia mengadu yang dia telah menggali 78 kubur. Hanya 2 kubur saja yang mayatnya masih mengadap kiblat. Dalam kubur-kubur lain, semua mayat itu telah berpusing membelakangkan kiblat. Syeikh Joned menerangkan mayat-mayat yang berpusing membelakangkan kiblat itu adalah pada masa hidupnya syak atau ragu-ragu tentang jaminan rezeki oleh Allah.


MORAL & IKTIBAR

* Kita mesti yakin tentang rezeki yang Allah telah jamin sebelum kita dilahirkan lagi.
* Syak terhadap jaminan ini sama seperti tidak beriman terhadap Allah
* Allah mengurniakan hidayat kepada sesiapa yang dikehendaki meskipun pada mulanya dia seorang a'asi (maksiat)
* Jangan menghina atau memandang rendah kaki maksiat, jangan-jangan dia akan bertukar menjadi orang yang soleh; sedangkan kita belum tahu.
* Syak terhadap jaminan rezeki adalah satu dosa yang balasannya diterima di dalam kubur lagi.
* Mayat di kubur sebenarnya tidak mati, dia hanya berpindah alam dan di sana dia akan merasa bahagia jika ahli syurga dan ditimpakan azab jika ahli neraka.