Rabu, 5 Ogos 2009

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dengan mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan, semoga kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat sebagaimana yang dijanjikan Allah. Di dalam surah Al-Fath ayat 26, Allah S.W.T berfirman:

Maksudnya: ‘(ingatlah dan kenangkanlah ihsan tuhan kepada kamu) ketika orang-orang kafir menimbulkan perasaan sombong dan angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam), perasaan sombong angkuh secara jahiliyah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), sehingga meminta mereka tetap berpegang kepada kalimah taqwa, sedang mereka ‘di sisi Allah’ adalah orang-orang yang sangat berhak dengan ‘kalimah taqwa’ itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu’

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Sifat marah adalah sifat semulajadi manusia. Ia berpunca dari perasaan tertekan, merasa dizalimi, dikhianati, diperkecilkan dan sebagainya. Marah merupakan satu senjata kepada manusia. Ia boleh membawa kepada kebaikan dan juga boleh membawa kebinasaan serta satu penyakit yang merosakkan keamanan hidup manusia.

Pada tahap permulaan, sifat marah itu bukanlah satu penyakit. Ia hanyalah luahan yang dilahirkan oleh seseorang dalam bentuk tindakan dan tingkahlaku. Hal ini adalah akibat dari sesuatu sebab atau kesan yang mana, kalau tidak berbuat demikian, kita akan merasa tidak selesa dan resah gelisah. Sifat marah yang sudah bertapak di hati, jika tidak dikawal, lama kelamaan akan memakan diri sendiri dan akan membawa padah kepada orang-orang yang kita sayangi dan kita hormati, serta membawa keburukan dan kemudaratan kepada keadaan disekeliling kita. Oleh yang demikian, Islam mengajarkan kepada kita satu ubat yang terbaik bagi mengawal perasaan marah. Caranya ialah dengan menahan diri tatkala marah dan sabar sewaktu hawa nafsu yang sedang meluap-luap. Sabda Rasulullah S.A.W:

Maksudnya: ‘sesungguhnya marah itu adalah sepotong api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada merah kedua matanya dan menyambung urat-urat lehernya? Maka apabila salah seorang kamu merasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkanlah diri kamu ke muka bumi’ (Hadith Riwayat Tarmizi)

Sifat marah berasal dari syaitan, kerana syaitan itu dijadikan daripada api. Ingatlah bahawa api itu boleh dipadamkan dengan air. Maka apabila seseorang itu sedang marah, sebaik-baiknya dia terus mengambil wudhu’, kerana air yang disapukan dianggota wudhu’ bukan sahaja dapat menjauhkan diri dari godaan dan hasutan syaitan, malah ini juga dapat menyejukkan muka dan anggota badan kita yang sedang panas kerana kemarahan. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya: “Apabila seseorang dari kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wudhu’ dengan air. Maka sesungguhnya marah itu dari api.” (Hadith riwayat Abu Daud)

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Oleh sebab itu, Rasulullah S.A.W menasihatkan kepada orang yang sedang marah supaya mengambil wudhu’. Di samping itu hendaklah memperbanyakkan berzikir kepada Allah S.W.T agar dapat menghapuskan dan memadamkan api kemarahannya yang sedang meluap-luap.

Orang yang cepat marah atau sedang marah biasanya terdorong melakukan perkara-perkara yang tidak siuman. Ia mungkin akan memaki hamun, merosakkan sesuatu, memudaratkan orang lain dan hilang pertimbangan yang akhirnya menyesali segala yang telah dilakukannnya apabila telah hilang perasaan marahnya.

Dalam masyarakat kita yang kaya dengan bahasa-bahasa kiasan yang menunjukkan betapa buruknya perbuatan mereka yang tidak siuman kerana gagal mengawal perasaan marah. Kata-kata kiasan seperti, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Semuanya menunjukkan betapa buruknya akibat daripada kata-kata atau perbuatan yang berlaku sewaktu dalam keadaan marah.

Orang yang dapat menahan diri dari dikuasai oleh sifat marah akan mendapat ganjaran yang setimpal dengan usahanya, sebagaimana Rasulullah S.A.W:

Maksudnya: “Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga” (Hadith riwayat Bukhari)

Oleh yang demikian, di dalam menangani sifat marah, kita sebagai umat Islam harus mengambil sikap bertolak ansur dan persefahaman sesama manusia. Hindarkanlah segala sebab atau punca yang menyebabkan orang lain memarahi kita. Sekiranya kita dimarahi, jangan pula kita mengeruhkan keadaan. Kita juga harus memainkan peranan untuk memadamkan api kemarahan tersebut. Hadapilah orang yang sedang marah dengan membantu dirinya menghilangkan kemarahannya dengan bijaksana.

Sidang jumaat dikasihi sekalian,

Sememangnya marah adalah satu penyakit yang sepatutnya kita hindarkan seberapa boleh. Akan tetapi marah juga amat perlu dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Seorang bapa wajib marah jika ahli keluarganya sengaja tidak mahu mengikut ajaran Islam. Seorang ketua keluarga pula bertanggungjawab ke atas mereka yg berada di bawah tanggungjawabnya. Jika mereka yang di bawah tanggungjawbnya melanggar perintah Allah dengan sengaja, ketua keluarga wajib menegur dan memarahinya. Sepertimana Rasulullah S.A.W marah apabila hukum Allah dilanggar. Tetapi harus diingat bahawa marah tersebut bukan marah yang mengikut hawa nafsu, melepaskan geram dan melayangkan kaki dan tangan sehingga memukul. Tetapi marah tersebut mestilah marah yang bertujuan mendidik untuk menunjukkan ketidaksenangan kita terhadap perbuatan maksiat tersebut. Inilah cara Islam mengarahkan sifat marah yang semulajadi ada pada diri manusia, agar ia membawa kebaikan kepada manusia, dan bukan membawa kebinasaan.

Ingatlah, marah adalah senjata. Ia boleh membawa manfaat dan ia juga boleh membawa mudarat. Orang yang pandai dan kuat, adalah orang yang dapat mengawal kemarahannya agar ianya membawa manfaat, bukannya membawa mudarat kepada dirinya serta orang lain.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Shur ayat 73:

Maksudnya: “dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan